RECOMMENDED ARTICLES

Bekam


Suasana pagi ini sungguh nyaman sekali, aku sempat pergi ke pasar membeli bahan-bahan untuk berniaga petang nanti. Sebelum pulang aku singgah sarapan di Warung Abang Hamdan dekat Jalan Shapadu pekena roti canai dan teh tarik. Tiba di rumah aku uruskan kucing peliharanan, cuci bekas najis dan kencing serta memberi mereka makan kenyang-kenyang. Comel mereka semua, sejuk hati aku tengok telatah mereka yang manja merayu minta dibelai.
Tepat jam 9.00 pagi seorang anak muda berumur 21 tahun memperkenalkan dirinya sebagai Farid datang ke rumah, memenuhi temujanjinya dengan aku untuk membuat Rawatan Bekam. Beliau seorang yang bersopan-santun dan bebudi perketi, baik tingkah-laku dan tutur katanya.
Sebelum memulakan rawatan aku berborak apa yang patut dan menerangkan sedikit sebanyak perihal berbekam kepada beliau. Pucat air mukanya mendengar taklimat daripada aku, ada riak panik diwajahnya. Alhamdulillah Farid rupa-rupanya seorang anak muda yang berani dan sanggup menghadapi risiko untuk kesihatan tubuh badannya.
Lebih kurang 9.30 pagi aku memulakan rawatan sehingga selesai 11.45 pagi, Rawatan Bekam hanya tertumpu pada bahagian belakang badan sahaja sebanyak 13 tapak. Banyak darah kotor dan sisa toksik dapat dinyahkan daripada tubuh badan beliau. Raut wajah Farid berubah ceria dan segar, terserlah ketrampilannya.
Syukur kepada Allah kerana segala urusan hari ini berjalan dengan lancar dan tanpa ada apa-apa halangan. Terima kasih kerana memberi Hamba rezeki.